SEJARAH RINGKAS

   Sekolah Kebangsaan Temin telah dibuka pada 4 Disember 1995. Kedudukannya di pinggir bandar Jerantut, 4 km di laluan utama Jerantut ke Temerloh. Dibina di bawah projek Pembangunan Pendidikan Rancangan Malaysia Ke-6 (1991-1997). Mengandungi dua blok tiga tingkat bangunan sekolah, kantin dan padang permainan dengan keluasan tanah 4.19 Hektar (lebih kurang 10 ekar).
   Diawal penubuhannya mempunyai murid seramai 341 orang dan guru seramai 18 orang. Guru Besar pertama Encik Ilias Bin Said, berkhidmat sehingga 15 Mac 1997. Tempatnya diganti oleh Encik Hamidon Bin Abu Bakar yang bertukar dari Sekolah Kebangsaan Batu Balai hingga sekarang.
   Sebelum ini murid dari kampung Temin dan kawasan sekitarnya bersekolah di Sekolah sekitar bandar Jerantut dan Sekolah Kebangsaan Tanah Rom. Sejak kewujudannya telah memberi kemudahan kepada ibubapa yang tinggal di penempatan berikut membuat pilihan menempatkan anak-anak mereka belajar.
   Pertambahan penduduk di penempatan di atas yang mendesak, menyebabkan Kementerian Pendidikan meluluskan Pembinaan 2 blok 2 tingkat bangunan tambahan yang boleh diduduki sejak 24 Februari 2003 lalu. Mengikut bancian sehingga 31 Julai 2008, bilangan murid sekolah telah mencapai 780 orang termasuk dua kelas Pra sekolah. Untuk kemudahan guru pula, Pusat sumber Pendidikan Pahang (PSPN), diatas daya usaha Ketua Penolong Pengarah Haji Ismail B. Haji Othman telah menubuhkan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Temin Yang menumpang bangunan di sekolah ini mulai 25 Januari 2000.
   Kegigihan seluruh warganya telah mampu meletakkan sekolah ini dalam kelompok sekolah di segani di daerah dan negeri dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan pembangunan insan mengikut kehendak Falsafah Pendidikan Negara.